Tuesday, April 22, 2008

Melawan Arus

MELAWAN ARUS

Oleh : Natalia Sadiqova Al Hindustanee

Saya sesungguhnya amat teruja apabila membaca karya penulisan Stephen R. Covey didalam "The 8th Habit". Namun apa yang membuatkan buku beliau itu lebih bermakna adalah catatan beliau mengenai kisah penubuhan sebuah bank yang bernama Bank Grameen di Bangladesh oleh Muhammad Yunus.

Pada hari ini perkhidmatan Bank Grameen telah dapat dinikmati oleh lebih 46000 buah kampung di Bangladesh melalui 1267 buah cawangan dengan lebih 12000 orang pekerja. Bagaimanakah kisah disebalik penubuhan bank ini?

Muhammad Yunus telah mengisahkannya seperti berikut:

"Semuanya bermula dua puluh lima tahun dahulu. Saya sedang mengajar matapelajaran ekonomi disebuah universiti di Bangladesh. Negara itu sedang dilanda kebuluran. Saya berasa amat kecewa. Saya mengajar teori ekonomi yang sangat menarik dan baik sekali didalam bilik kuliah dengan penuh semangat sebagai seorang yang baru mendapat sarjana kedoktoran dari Amerika Syarikat. Tetapi saya akan melangkah keluar dari bilik kuliah itu dan melihat rangka- rangka manusia yang hanya menunggu masa untuk mati.

Saya merasakan apa yang telah saya pelajari, apa yang telah saya ajar adalah dongeng dan rekaan semata-mata, tanpa ada sebarang makna dalam kehidupan manusia. Jadi saya bermula dengan mencuba untuk memahami cara kehidupan orang-orang kampung disebelah kampus universiti saya.

Saya ingin mengetahui jika ada sesuatu yang boleh saya lakukan sebagai seorang manusia untuk melambatkan atau menghentikan kematian itu, walaupun untuk seorang. Saya meninggalkan pemerhatian dari jauh saya yang hanya membenarkan anda melihat dari jauh, dari langit.

Saya mengambil pendekatan untuk melihatnya dengan lebih dekat, cuba mencari apa sahaja yang datang dihadapan saya – untuk menghidunya, untuk menyentuhnya, melihat sekiranya saya boleh melakukan sesuatu terhadapnya.

Satu kejadian telah membawa saya ke suatu arah yang baru. Saya bertemu dengan seorang wanita yang membuat bangku dari buluh. Selepas satu perbincangan yang panjang, saya mendapat tahu dia hanya mendapat dua sen (matawang US) sehari. Saya tidak mempercayai bahawa seseorang yang bekerja keras dan menghasilkan bangku-bangku buluh yang cantik itu hanya mendapat keuntungan yang amat sedikit.

Dia menerangkan kepada saya yang dia tidak mempunyai wang untuk membeli buluh bagi membuat bangku-bangku tersebut, dia perlu meminjam dari seorang peniaga – peniaga itu meletakkan syarat dimana bangku-bangku yang dihasilkan oleh wanita itu hanya boleh dijual kepada peniaganya sahaja, pada harga yang telah ditetapkan oleh peniaga tersebut. Dan itu telah menjelaskan kepada saya tentang dua sen tersebut – dia sebenarnya telah menjadi buruh paksa kepada peniaga itu. Dan berapakah harga buluh-buluh itu?

Wanita itu berkata, "Oh, lebih kurang dua puluh sen. Dua puluh lima sen untuk yang lebih baik."

Saya berfikir, "orang menderita untuk dua puluh sen dan tiada apa yang boleh dilakukan oleh sesiapa?".

Saya berdebat samada patutkah saya memberinya dua puluh sen, tetapi kemudiannya saya mendapat satu idea yang lain – saya akan menyenaraikan orang- orang yang memerlukan wang sebanyak itu. Saya mengajak seorang pelajar saya dan kami pergi ke seluruh kampung itu untuk beberapa hari dan telah menyenaraikan empat puluh dua orang yang berada didalam keadaan yang serupa.

Apabila saya mengira jumlah wang yang mereka perlukan, saya mendapat kejutan terbesar dalam hidup saya: Jumlahnya adalah dua puluh tujuh dolar!

Saya berasa malu kepada diri saya sendiri kerana menjadi sebahagian daripada masyarakat yang tidak boleh memperuntukkan hanya dua puluh tujuh dolar kepada empat puluh dua orang yang mahir dan rajin bekerja. Untuk mengelak dari malu, saya mengeluarkan wang dari poket saya sendiri dan memberinya kepada pelajar saya.

Saya berkata, "Awak ambil wang ini dan berikannya kepada empat puluh dua orang yang kita temui dan katakan kepada mereka ini adalah satu pinjaman, tapi mereka boleh membayar balik wang tersebut kepada saya bila-bila masa mereka mampu. Pada masa yang sama, mereka boleh menjual barangan mereka dimana-mana mereka boleh mendapatkan harga yang tinggi."

Setelah menerima wang itu, mereka menjadi teruja. Keseronokan itu telah membuatkan saya berfikir, "apa yang perlu saya lakukan sekarang?"

Saya teringatkan cawangan bank yang terletak didalam kawasan kampus universiti saya dan saya telah pergi berjumpa pengurus bank tersebut lalu mencadangkan kepadanya supaya dia memberikan pinjaman kepada orang- orang miskin yang telah saya temui dikampung tersebut. Dia sangat terkejut!

Dia berkata, "awak sudah gila. Itu tidak mungkin boleh berlaku. Bagaimana boleh kami pinjamkan wang kepada orang-orang miskin? Mereka tidak boleh dipercayai untuk meminjam wang."

Saya merayu kepadanya dan berkata, "sekurang-kurangnya cubalah, untuk mengetahui – ia hanya satu jumlah wang yang kecil."

Dia berkata, "tidak. Peraturan-peraturan kami tidak membenarkannya. Mereka tidak boleh menawarkan sebarang cagaran dan jumlah yang sekecil itu tidak berbaloi untuk diberi pinjaman."

Dia mencadangkan supaya saya bertemu dengan pegawai-pegawai tinggi didalam hierarki perbankan Bangladesh. Saya menurut nasihatnya dan pergi bertemu dengan orang-orang penting didalam bahagian perbankan. Setiap daripada mereka menyatakan perkara yang sama kepada saya.

Akhirnya setelah ke sana dan ke mari untuk beberapa hari, saya menawarkan diri untuk menjadi penjamin.

"Saya akan menjamin pinjaman itu, saya akan tandatangani apa saja yang mereka ingin saya tandatangani dan mereka bolehlah memberi wang itu kepada saya dan saya akan memberinya kepada orang-orang yang saya ingin beri."

Jadi itulah permulaannya. Mereka berkali-kali memberikan peringatan kepada saya bahawa orang-orang miskin yang menerima wang tersebut tidak akan membayarnya kembali.

Saya berkata, "saya akan menerima risikonya".

Dan apa yang menjadi kejutan adalah, mereka membayar setiap sen kepada saya. Saya menjadi teruja dan datang kepada pengurus tersebut dan berkata, "lihat, mereka telah membayar kembali pinjaman itu, tidak ada masalah."

Tetapi dia berkata, "oh tidak, mereka hanya mempersenda- sendakan anda. Nanti mereka akan mengambil lebih banyak wang dan tidak membayarnya kembali kepada anda."

Jadi saya memberi mereka lebih banyak wang dan mereka membayarnya kembali kepada saya. Saya memberitahu kepada pengurus tersebut, tetapi dia pula berkata, "mungkin anda boleh melakukannya dengan sebuah kampung, tetapi jika anda lakukan dengan dua buah kampung ia tidak akan berjaya."

Saya dengan cepat melakukannya dengan dua buah kampung dan ia berjaya. Ia menjadi seperti satu pergelutan di antara saya dengan pengurus bank tersebut dan rakan-rakan sekerjanya yang berkedudukan tinggi.

Mereka tetap menyatakan dengan jumlah yang lebih besar, mungkin 5 buah kampung, perbuatan tidak membayar hutang akan dipertontonkan. Jadi saya melakukan dengan lima buah kampung dan ia menunjukkan mereka membayar balik pinjaman tersebut. Mereka masih tidak mahu mengalah.

Mereka berkata, "sepuluh kampung, lima puluh kampung, seratus kampung."

Dan ia menjadi seperti suatu pertandingan diantara saya dengan mereka. Saya mendapat hasil yang tidak boleh mereka nafikan kerana wang yang saya pinjamkan adalah milik saya, tetapi mereka tidak dapat menerimanya kerana mereka telah dilatih untuk mempercayai orang-orang miskin tidak boleh dipercayai.

Saya bernasib baik kerana tidak dilatih dengan cara sedemikian dan dengan itu saya boleh mempercayai apa saja yang saya saksikan, apabila ia menjelmakan dirinya. Tetapi dengan pemikiran pegawai-pegawai bank tersebut, mata mereka telah dibutakan oleh ilmu yang mereka ada.

Akhir sekali saya berfikir, kenapa perlu saya cuba untuk meyakinkan mereka? Saya mempunyai penuh keyakinan bahawa orang-orang miskin akan meminjam wang dan membayarnya kembali. Mengapakah kita tidak menubuhkan bank yang berasingan?

Itu membuatkan saya merasa sangat teruja dan saya menulis satu kertas cadangan dan memohon kepada kerajaan untuk mendapatkan kebenaran bagi menubuhkan sebuah bank. Saya telah mengambil masa selama dua tahun untuk meyakinkan pihak kerajaan.

Pada 2 haribulan Oktober tahun 1983, kami menubuhkan sebuah bank – sebuah bank yang rasmi dan bebas. Dan ia menjadi suatu keseronokan buat kami, sekarang kami mempunyai sebuah bank dan kami boleh mengembangkannya bila-bila masa sahaja. Dan kami sememangnya berkembang.

No comments: