Tuesday, April 22, 2008

Dua Ekor Anak Burung

Ada dua ekor anak burung yang sudah dewasa. Anak burung yang pertama mempunyai kemahuan yang kuat untuk belajar terbang. Dia merancang untuk meloncat dari sarang untuk mencapai dahan yang di sebelah sarang. Sedangkan anak burung yang kedua tidak mempunyai kemahuan untuk belajar terbang. Dia merasa malas dan tidak mempunyai keberanian untuk belajar terbang. Baginya hidup di sarang dan menerima makanan dari sang ibu burung saja sudah cukup.

Suatu hari anak burung yang pertama meloncat dan berusaha mengepakkan sayapnya, tapi apakan daya, dia terjatuh dari atas pohon bergulingan ke tanah. Dia menangis kesakitan, lalu dia berusaha bangkit dan mencuba lagi. Hal ini dilakukan berulang-ulang. Sedangkan anak burung yang kedua memandang sambil bergumam, "buat apa susah-susah belajar terbang, daripada aku jatuh bangun dan badanku sakit, lebih baik aku tidur di sarang saja menunggu makanan datang dari ibuku."

Akhirnya, pada suatu hari anak burung pertama telah berjaya terbang setelah belajar dan berjuang tidak kenal lelah. Dia telah boleh bercengkerama dengan burung lain dari dahan yang satu ke dahan yang lain, dari pohon satu ke pohon yang lain, dan dia sudah boleh mencari makan sendiri. Dengan riang gembira dia menjalani hidup dengan berdikari. Sedangkan anak burung kedua hanya boleh memandang temannya. Dalam hati dia menyesal, mengapa dia tidak mahu belajar terbang sejak dulu. Dia meratapi nasibnya yang masih bergantung ke ibunya untuk makan.

MORAL KISAH INI:

Memang hidup adalah pilihan. Sering kali pilihan untuk mencapai kejayaan bermula dengan jatuh bangun, pahit getir, atau bahkan menghadapi risiko yang apabila dibayangkan membuatkan hati kita ngeri untuk melangkah lebih jauh. Tapi sahabat, kalau kita tidak menghadapi risiko, kita tidak akan maju, kita akan bernasib sama dengan anak burung kedua, yang terus bergantung kepada orang lain. Kita akan merasa ketinggalan dengan orang yang telah berjaya.

Tidak ada salahnya kita belajar mengepakkan sayap. Hadapi dunia, terbang sejauh-jauhnya. Capai cita-cita kita walaupun kita harus berpisah dengan orang yang kita sayangi. Walaupun kita akan merana, kesakitan sendiri, anggap saja ini ujian untuk mencapai hidup yang lebih baik.

No comments: